Acad, pemain bass jawab beberapa soalan. 2008-11-10 11:26:00
Deepset ialah sebuah kugiran muzik instrumental yang sedang menempa nama dalam dunia muzik indie tempatan. Sejak penubuhannya sekitar 2002, mereka cuba bawa muzik mereka kepada umum dengan cara tradisional: bermain gig dan merakamkan lagu, dengan tidak mementingkan penampilan di televisyen ataupun majalah arus perdana. Usaha mereka menampakkan hasil. Satu EP, satu album serta beberapa buah lagu yang menghiasi filem dan siri televisyen popular Kami telah menjadikan Deepset buah mulut.
Acad, pemain bass jawab beberapa soalan.
Apa khabar? 2008 tahun yang sibuk?
Khabar baik dan sihat sejahtera, diri dalam keadaan stabil dan hati yang riang, terima kasih kerana bertanya. 2008 merupakan tahun yang agak dilengkapi dengan kesibukan. Aktiviti sosial, berkarya serta menghadapi masalah sejagat, adakala kita mungkin cuba menafikannya.
Kugiran instrumental seperti Deepset kini lebih senang diterima dalam dunia muzik indie tempatan. Adakah ini satu faktor tren, atau mungkin kamu berada pada satu tahap perkembangan muzik yang lebih sesuai?
Saya tidak dapat menafikan tren adalah salah satu faktor. Tren didorong dengan kehendak semasa, penerimaan dihalusi dengan perkembangan muzik yang lebih sesuai. Deepset akan cuba sampaikan dan lakukan apa yang termampu. Tiada apa yang dapat kami beri jaminan, selain berkongsi karya kami dengan semua.
Kamu gembira dengan pencapaian Deepset setakat ini?
Pencapaian yang dikecapi setakat ini dapat menggembirakan saya. Kami dapat menghasilkan EP dan album sulung, beraksi di beberapa persembahan kecil dan besar, bekerjasama dengan beberapa pengarah filem bebas dan juga beberapa projek kecil yang dapat kami jayakan.
Lagu dalam filem Kami, walaupun hanya sekejap, kamu fikir ini boleh membantu Deepset dalam dunia muzik sepertimana The OC lakukan terhadap Death Cab For Cutie?
Semua itu terpulang, saya lebih percaya kepada penyampaian dan perkongsian antara satu pihak kepada satu pihak yang lain, ia adalah lebih wajar untuk memperkembangkan Deepset di dalam dunia muzik.
Banyak lagu-lagu kamu yang begitu syahdu, tanpa perlu ada penyanyi ataupun puisi. Bagaimana proses penggubahan lagu?
Kami tidak mempunyai formula atau resipi yang merangkami spesifikasi yang tertentu. Lagu diadaptasikan dari pelbagai aspek, seperti buku, tayangan gambar dan juga perjalanan hidup seharian. Proses penggubahan lagu adalah fleksibel, struktur menjadi susur galur setiap ciptaan dan kemudian kami akan mengubah dan cuba berulang kali untuk mendapatkan aliran ragam yang sesuai. Yang paling utama, kami bebas berkarya, di bawah kawalan sendiri dan tiada had untuk menyampaikan apa yang kami cuba sampaikan.
Genre muzik indie kini tidak lagi boleh dikelaskan sebagai "underground." Adakah ini lebih menakutkan ataupun menggembirakan kamu?
Secara am, "underground" merupakan satu istilah yang diklasifikan sebagai satu muzik di dalam pergerakan arus sendiri dan indie pula tiada perbezaan yang ketara. Tiada apa yang perlu ditakutkan dan tiada apa yang perlu digembirakan, kami berkarya untuk kepuasan kami sendiri. Bak kata Pak Cik Kerouac "Great things are not accomplished by those who yield to trends and fads and popular opinion".
Rancangan masa depan?
Ada beberapa rancangan yang kami sudah lakarkan, seperti menghasilkan album kedua dan bekerjasama dengan beberapa pengarah filem bebas untuk mewarnakan tayangan gambar mereka dengan alunan muzik kami. Kami dalam proses penggubahan lagu baru dan merancang untuk mengadakan persembahan di beberapa tempat di dalam negeri dan juga negara yang berhampiran.
Terima kasih untuk sesi temuramah ini.
| | 
Lagu-lagu Deepset mungkin akan muncul dalam beberapa buah lagi filem bebas tahun hadapan.
|
|
 | Revisiting High Fidelity Here we have three characters so obsessed with music that all they ever do is sit around talking about it. They're so deep in their narcissistic knowledge of music that they tend to poke fun at people with less musical vocabulary than them. Read More » |
 | Post Break-Up Persistent feelings of sad, anxious, or "empty" moods, srestlessness, irritability, or excessive crying are all symptoms of depression. Read More » |
 | Estranged Now three years later, they have recently released their latest album, named Remain Unknown, which includes the track, "The Slave In Us". Read More » |
|
|
|